Friday, June 12, 2009

Guru tonggak utama realisasikan 1Malaysia

Guru tonggak utama realisasikan 1Malaysia

KENINGAU 5 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru mempunyai peranan paling utama untuk menanam dan menyemarakkan semangat 1Malaysia di kalangan generasi muda khususnya di peringkat sekolah rendah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tugas guru bukan sekadar mengajar tetapi berperanan menerapkan nilai perpaduan, patriotisme dan penerimaan antara kaum.

"Guru akan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kita dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia seperti mana yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Anak-anak perlu dididik agar menghargai kemajmukan di negara ini dan menerima antara satu sama lain sebagai warganegara," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Ke-39 Peringkat Negeri Sabah 2009 di Sekolah Menengah Ken Hwa di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, tugas untuk menyemai semangat tersebut memerlukan komitmen yang tinggi serta tidak berbelah-bahagi di kalangan para guru.

Jelasnya, seiring dengan tugas serta peranan yang dipikul oleh guru, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi membalas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai itu.

Antaranya, kata beliau, ialah menyediakan kemudahan serta insentif kepada guru, serta yang terbaru dengan menambah kuota guru cemerlang bagi guru siswazah dan bukan siswazah.

Beliau percaya, melalui bantuan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada, generasi 1Malaysia mampu dilahirkan sejajar dengan matlamat untuk melahirkan modal insan cemerlang.

"Dengan adanya keseimbangan antara ekuiti dan kualiti pendidikan serta kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan, saya percaya sistem pendidikan kita mampu menyumbang kepada gagasan 1Malaysia," katanya.

Muhyiddin seterusnya menarik perhatian hadirin dengan mendedahkan bahawa beliau sebenarnya pernah menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Mohd. Yassin di Muar, Johor, milik bapanya.

''Apa yang melucukan sehingga kini saya masih dipanggil cikgu. Apa yang pasti, sekali kita jadi guru, walaupun hanya sepenggal, selama-lamanya kita akan menjadi guru," ujarnya berseloroh

Utusan Online 6/6/09

0 comments:

Alamat Perhubungan

Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu
KM 11 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
Selangor Darul Ehsan
Tel : 603-61861701
Fax : 603-61871512